Tanah Runtuh Serendah: 'Satu Persatu Kereta Ditelan Bumi' - Saksi
HULU SELANGOR - "Saya baru saja menutup gerai sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat. Terkejut saya menyaksikan kereta jatuh satu persatu bagi ditelan bumi," kata Normah Ninggal, 48, yang menjadi saksi kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah, awal pagi tadi.
Ketika kejadian jam 1 pagi, Normah baru saja selesai berniaga dan sedang mengemas di hadapan rumah yang terletak bersebelahan gerainya itu.
"Saya panggil anak-anak yang berada di gelanggang sepak takraw di sebelah rumah untuk masuk. Tak sampai seminit, tanah di belakang rumah runtuh, pokok bergoyang dan kereta berpusing," katanya.
Kejadian itu amat menakutkan kerana tiada tanda-tanda jalan atau tanah di kawasan itu retak, katanya.
Lapor Harian Metro, dalam kejadian itu, seorang penunggang motosikal, Mohd Fareez, 21, dilaporkan patah kaki dan tangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Mangsa tertimbus dalam runtuhan berkenaan, namun berjaya diselamatkan penduduk berhampiran yang menyedari insiden itu.
Pihak bomba yang dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 1.02 pagi, tiba di lokasi 16 minit kemudian.
Sebagai langkah keselamatan, semua penduduk berhampiran kawasan kejadian seluas 1.2 hektar telah diarahkan berpindah buat sementara waktu.
Operasi mencari dan menyelamat juga telah dijalankan bermula jam 6.45 pagi dan selepas usaha pencarian dijalankan lebih dari sejam, tiada mangsa yang ditemui.
Lapor Astro Awani, sekurang-kurangnya enam kereta, dua motosikal dan sebuah van milik penduduk taman itu turut tertimbus dalam runtuhan itu. Runtuhan sepanjang hampir 100 meteri dari kawasan rumah teres sehingga ke bekas lombong itu juga turut meranapkan tujuh unit kedai.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) masih meneruskan pemantauan untuk melihat sama ada masih berlaku pergerakan tanah di kawasan itu. - The Reporter
from Srikandi http://ift.tt/2geFFV7
via IFTTT