HUKUM SELAWAT KE ATAS NABI SAW SEBELUM AZAN DAN IQAMAH
Soalan:
Saya selalu mendengar di masjid-masjid ataupun surau ketika mana telah masuk waktu solat dan muazzin ingin melaungkan azan, maka kebanyakannya akan berselawat dahulu dan barulah memulakan azan. Adakah perbuatan ini ada padanya petunjuk dari Nabi SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Dikalangan mutaakhirin al-Syafi’eyyah ada yang mengatakan selawat sebelum azan dan iqamah adalah sunat. Antara yang menyebutkannya adalah al-Imam Zain al-Din al-Malibari Rahimahullah di dalam kitabnya Fath al-Mu’in dan ianya dinisbahkan kepada al-Imam al-Nawawi di dalam syarah al-Wasit.[1] Al-Dimyati Rahimahullah juga menukilkan perkara yang sama di dalam kitabnya I’anah al-Talibin.[2]
Namun terdapat juga sanggahan yang mengatakan pendapat di atas dinisbahkan kepada al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di kalangan mutaakhirin al-Syafi’eyyah, iaitu al-Imam al-Syabramallisi Rahimahullah. Beliau menyebutkan di dalam Hasyiahnya bahawa telah berlaku kesilapan dalam menulis (sabqu qalam) di dalam syarah al-Wasit dan sebenarnya yang ma’ruf dan warid adalah selepas iqamah dan bukan sebelumnya sepertimana yang terdapat di dalam hadith dan diamalkan kelebihannya.[3]
Berdasarkan sesetengah pendapat yang mengatakan disunatkan untuk berselawat sebelum iqamah adalah berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Hurairah RA:
كَانَ بِلَالٌ إِذَا أَرَادَ أَنْ يُقِيمَ الصَّلَاةَ قَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، الصَّلَاةَ رَحِمَكَ اللَّهُ
Maksudnya: Adalah Bilal ketika beliau hendak mendirikan solat, maka beliau berkata: al-Salam ‘alaika ayyuha al-Nabiy wa Rahmatullahi wa Barakatuh, al-Solah rahimaka Allah.
Riwayat al-Tabarani di dalam al-Awsat (8910)
Al-Imam al-Tabarani Rahmahullah di akhir hadith tersebut seakan-akan mengisyaratkan akan lemahnya hadith di atas dengan mengatakan: “Tidak diriwayatkan hadith ini daripada Kamil kecuali Abdullah bin Muhammad al-Mughirah”.
Apabila merujuk kepada terjemah Abdullah bin Muhammad al-Mughirah di dalam kitab-kitab al-Tabaqat[4], kami senaraikan pendapat-pendapat para ulama’ hadith terhadap beliau:
- Abu Hatim mengatakannya : “Laisa bi Qawiyy” (tidak kuat; lemah).
- Ibn Yunus mengatakannya : “Munkar al-Hadith” (hadithnya munkar).
- Al-Daraqutni mengatakannya: “Dho’if” (lemah).
- Al-‘Uqaili di dalam al-Dhu’afa’ mengatakannya meriwayatkan sesuatu yang tiada asalnya.
Disebabkan oleh itu, terdapat muhaddith yang mengatakan bahawa hadith di atas terlalu lemah dan ada juga yang mengatakannya palsu dan tidak boleh dijadikan dalil untuk berhujah bagi isu ini.
Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah apabila ditanyakan mengenai adakah disunatkan untuk mengucapkan selawat di awal (sebelum) iqamah? Jawab al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah di dalam kitabnya al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra:
لَمْ أَرَ مَنْ قَالَ بِنَدْبِ الصَّلَاةِ وَالسَّلَامِ أَوَّلَ الْإِقَامَةِ، وَإِنَّمَا الَّذِي ذَكَرَهُ أَئِمَّتُنَا أَنَّهُمَا سُنَّتَانِ عَقِبَ الْإِقَامَةِ كَالْأَذَانِ، ثُمَّ بَعْدَهُمَا: اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ. .. إلَخْ[5]
Maksudnya: Tidaklah aku berpendapat bagi siapa yang mengatakan dengan sunatnya selawat dan salam pada awal iqamah, dan apa yang disebutkan oleh imam-imam kami bahawa keduanya (azan dan iqamah) sunat dibacakan selawat selepas iqamah sepertimana azan, kemudian selepas itu dibaca: اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ sehingga akhir.
Selawat Ke Atas Nabi SAW Selepas Azan
Adapun selawat ke atas Nabi SAW selepas azan, telah sepakat para ulama’ mengatakan ianya adalah sesuatu yang disunatkan berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abdullah bin ‘Amr al-‘As R.Anhuma:
إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِي إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِيَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ
Maksudnya: Sekiranya kalian mendengar muazzin melaungkan azan, maka sebutkanlah sepertimana yang dilaungkan oleh muezzin. Kemudian berselawatlah ke atasku dan barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat keatasnya dengan 10 kali. Kemudian mohonlah wasilah bagiku dan wasilah itu adalah satu kedudukan di syurga yang hanya disediakan untuk seorang sahaja dari kalangan hamba Allah dan aku mengharapkan agar aku dikurniakan kedudukan tersebut. Barang siapa yang memohon bagiku wasilah, maka halallah baginya syafaatku.
Riwayat Muslim (384)
Di dalam al-Mu’tamad di sebutkan bahawa disunatkan bagi setiap muazzin dan juga mereka yang mendengarnya dan bagi mereka yang hendak mendirikan solat untuk berselawat ke atas Nabi SAW dengan suara yang rendah dan kemudian mohon kepada Allah al-Wasilah buat Nabi Muhammad SAW selepas selesainya azan iaitu selepas beberapa ketika sehingga tidaklah menjadi selawat itu sebahagian daripada azan.[6]
Kesimpulan
Melihat kepada kenyataan-kenyataan di atas, yang thabit melalui hadith Nabi SAW adalah berselawat ke atas Baginda SAW selepas azan. Adapun pendapat yang mengatakan adanya selawat sebelum azan dan iqamah dengan disandarkan pendapat tersebut kepada al-Imam al-Nawawi, maka ianya telah dijawab oleh ulama’ yang lain seperti yang telah kami nyatakan di atas dan tambahan pula hadith yang dikatakan menjadi dalil bagi isu ini juga dalam keadaan yang tersangatlah lemahnya.
Begitu juga apabila melihatkan fatwa al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah yang mana turut berpendapat bahawa tiadanya selawat sebelum azan dan juga iqamah bahkan yang thabitnya adalah selepas azan dan iqamah.
Berdasarkan kenyataan-kenyataan tersebut, kami cenderung untuk mengatakan bahawa selawat yang sahih dan waridnya adalah selepas azan dilaungkan selepas beberapa ketika untuk membezakan di antara azan dan juga selawat. Ianya juga diqiyaskan buat iqamah kerana di dalam hadith disebutkan juga iqamah itu dengan azan iaitu:
بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ
Maksudnya: Diantara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah) itu terdapatnya solat (solat sunat).
Riwayat Al-Bukhari (627) & Muslim (838)
Oleh itu, sunat untuk membaca selawat selepas azan dilaungkan berdasarkan hadith yang sahih maka sunat juga selepas daripada iqamah berdasarkan qiyas kepada azan kerana kebiasaannya (taghliban), iqamah juga disebutkan sebagai azan berdasarkan hadith yang sahih seperti yang telah disebutkan sebelum ini.
Meskipun perbuatan selawat itu adalah sesuatu yang baik, namun mengikuti nas hadith (selawat di baca selepas azan) adalah lebih utama dan ianya juga adalah sebagai langkah berhati-hati dalam beramal kerana terdapatnya hadith yang sahih dalam permasalahan ini.
Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
19 Disember 2016 bersamaan 19 Rabi’ al-Awwal 1438 H.
[1] Lihat Fath al-Mu’in. Dar Ibn Hazm, hlm. 157.
[2] Lihat I’anah al-Talibin. Dar al-Fikr, (1/280).
[3] Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. Dar al-Fikr, (1/423).
[4] Lihat Lisan al-Mizan. Dar al-Basyair al-Islamiyyah, (4/554).
[5] Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. Al-Maktabah al-Islamiyyah, (1/129).
[6] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, (1/191)
via Bin Usrah
from Viral Semasa http://ift.tt/2jRI9dy
via IFTTT
from Mrs Foreigner http://ift.tt/2kMXUmJ
via IFTTT