Tak seronok mendengar kelemahan murid dicerita secara terbuka ketika ambil report card
Sejak minggu lepas, ramai sahabat saya bercerita mengenai kehadiran mereka ke sekolah anak-anak untuk berjumpa dengan guru kelas sebagai aktiviti wajib memantau prestasi pelajaran mereka. Dan saya tidak terkecuali. Cuma, saya telah mengambilnya lebih awal, iaitu sebelum hari raya lagi.
Saya sebenarnya tidak suka hadir aktiviti sebegini kerana saya tidak suka tengok drama Melayu. Saya kata drama sebab selain menunggu lama untuk giliran anak-anak saya, saya terpaksa melayan karenah ibu bapa yang kadang-kala terlalu memualkan.
Cikgu-cikgu berperanan memberitahu ibu bapa murid tentang pencapaian peperiksaan semasa. Mereka juga turut bercerita sisi baik dan kelemahan anak didik mereka semasa di dalam pemantauan guru. Iyalah! Ada yang terlalu aktif, nakal, pasif, ringan tulang dan sebagainya. Saya menganggapnya satu proses pembelajaran dan mengenali diri. Cuma saya tidak seronok mendengar apabila kelemahan murid dicerita secara terbuka dan didengari oleh ibu bapa lain yang turut beratur di belakang mereka di sepanjang sesi.
Tambah memualkan apabila ada ibu bapa yang tega memarahi anak di hadapan guru, ibu bapa dan rakan mereka yang lain kerana ada pelajaran yang merosot. Ibu bapa jenis ini mengambil masa yang sangat lama.
Berbincang untuk kebaikan anak-anak dengan guru tidak salah, cuma fikirkanlah kesesuaiannya. Jika sekadar ingin bertanya lanjut sehingga hampir satu jam, carilah tarikh lain kerana pihak sekolah terbuka untuk ibu bapa datang ke sekolah dan berjumpa guru bagi perbincangan. Malah pihak sekolah turut membuka peluang kepada ibu bapa untuk sama-sama membantu sebagai pembimbing pelajar secara sukarela.
Saya sendiri hanya mengambil masa sekitar 5 minit sahaja berjumpa guru kelas bersama anak-anak saya. Si guru menunjukkan rekod peperiksaan dan membandingkan dengan pencapaian lalu sama ada menaik atau menurun. Diberitahu sikapnya di dalam kelas dan terhadap guru dan rakan-rakan. Saya angguk.
"Anak encik keseluruhannya sangat baik, cuma ada subjek yang dia agak merosot. Tak sepatutnya murid di kelas terbaik ada subjek yang lemah", kata guru kelas.
Saya cuma senyum. Sesekali tidak melatah dan memarahi anak di khalayak ramai. Peperiksaan sudah berlalu, dan tiada apa lagi boleh diubah kerana nasi sudah menjadi bubur. Jadi, kenapa saya perlu marah?
Saya faham, pendidikan sekarang adalah berorientasikan kasta yang mengkategorikan pelajar mengikut tahap kepandaian.
Di hadapan guru saya berjanji akan lebih memberi perhatian dan bimbingan kepada anak-anak saya. Saya tidak terpengaruh dengan 'ugutan' guru tersebut yang menyatakan bahawa jika markah anak saya tidak meningkat pada peperiksaan akan datang atau pelajar lain lebih bijak daripadanya, dia kemungkinan akan tersingkir ke kelas kedua.
Ya, ibu bapa mana tidak mahu anaknya cemerlang, bijaksana, aktif, dan berada di kelas pertama daripada empat atau lima kelas di dalam darjahnya. Namun, itu bukanlah fokus saya dalam mendidik anak-anak.
Sekarang, kesemua anak saya berada di kelas pertama di dalam darjah masing-masing, namun saya tidaklah memaksa mereka kehilangan masa kanak-kanak mereka semata-mata untuk kekal di kelas pertama itu. Saya hendak mereka belajar dan berjaya, dan dalam masa sama hidup dengan gembira sebagai kanak-kanak.
Jika mereka ditakdirkan tersingkir ke kelas kedua, sudah tentu saya juga sedih tetapi saya mahu mereka mendapat pengajaran bahawa kejayaan itu ada harganya dan bukan milik orang di kelas pertama sahaja.
Sumber: Izman Pauzi
from Viral Semasa http://ift.tt/2uCbRLK
via IFTTT
from Mrs Foreigner http://ift.tt/2tpA8p0
via IFTTT