Siapa yang jawab call 9 saat itu?

8:29 AM 0 Comments A+ a-


Ini kisah seram. Nak percaya atau tidak, terpulang. Tetapi pertama kali berlaku pada saya. 

Sewaktu berada di Pekan, Pahang, saya menginap satu malam di sebuah resort yang terletak hanya lebih kurang 200 meter dari Pentas Utama Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri. Resort itu betul-betul di tepi Tasik Sultan Abu Bakar. 

Malam itu, masing-masing tidur kepenatan sebab sehari suntuk berada di majlis itu. Jam 4.15 pagi, saya terjaga dari tidur. Bila toleh ke sebelah, ternampak suami saya terjaga dan dia sedang bermain telefon bimbitnya. 

"Kenapa tak tidur?" 

Soalan itu tak berbalas. Suami hanya senyap sahaja. 

Jam 4.35 pagi, saya terjaga lagi dan suami masih belum tidur lagi. 

"Kenapa tak tidur-tidur lagi ni?" 

Suami masih diam membisu. Dalam keadaan mamai itu, saya tak sedar dan tertidur sahaja.

Azan Subuh itu saya terjaga. Rupa-rupanya suami masih berjaga sehingga azan Subuh. Saya periksa telefon bimbit, ada mesej di WhatsApp. Dihantar oleh Iera Mohd Jefri, jam 1.36 pagi tadi. 

"Kakak sayang, dah tidur ke?" mesejnya. 

Saya tak reply, saya solat Subuh dulu dan selepas itu bersiap-siap nak keluar sarapan pagi. Sampai di kedai mamak, suami pun buka cerita. Rupa-rupanya suami terjaga pada jam 4 pagi itu, sebenarnya dia ternampak pintu bilik air terbuka. Dia nampak melalui cermin meja solek. Tiada angin. 

Pintu itu pula jenis pintu plastik. Yang mana kalau kita tutup pun bunyi, buka pun berbunyi juga.

Suami rasa tak sedap hati dan dia terus berjaga. Patutlah dia senyap saja bila saya tanya kenapa dia masih belum tidur lagi. Dia sengaja tak nak beritahu saya pada waktu itu. 

Sambil-sambil itu, saya baru nak balas mesej dari Iera dan meminta maaf sebab tak balas mesej dia. Saya ceritakan segalanya apa yang suami saya nampak. Sembang punya sembang, Iera beritahu yang dia ada menghubungi saya pada jam 1.35 pagi. Katanya saya jawab panggilan dia. Tetapi dia hanya mendengar suara saya menangis teresak-esak. 

Saya terkejut! Saya terus periksa telefon bimbit dan ya memang ada rekod received call. Duration dalam 9 saat. Tetapi saya memang langsung tak jawab panggilan Iera, patah lagi menangis. Isk! Terus meremang bulu roma. 

Kata Iera, dia panggil saya berulang kali tetapi dia hanya mendengar tangisan saya sahaja. Lalu Iera tamatkan panggilan kerana memikirkan saya bergaduh dengan suami. Okay, ini kelakar. Hahaha! Sebab itu dia terus hantar mesej pada saya, dengan harapan mesejnya dibalas. Tetapi saya tak balas mesej yang dihantar jam 1.36 pagi itu. Saya kebinggungan seketika. 

Saya ceritakan kepada suami apa yang dimaklumkan oleh Iera. Aduhai, menguatkan lagi cerita seram suami tadi. Suami terus ajak saya check out awal. Kelam kabut kami packing barang. Sepatutnya boleh check out jam 2 petang, tetapi kami check out tergesa-gesa pada waktu tengah hari. 

Sampai di reception counter, saya ceritakan hal itu kepada dua kakitangan wanita. Mereka terperanjat. Tiba-tiba ada seorang pengawal keselamatan India mencelah. 

"Ya, ya. Ada tetamu yang lain juga menceritakan perkara yang sama," katanya membuatkan kami semua meremang bulu roma. 

Kakitangan itu berkali-kali memohon maaf dan saya maafkan sebab perkara begini di mana-mana pun boleh berlaku, kan? Sebagai tanda maaf, mereka berikan saya diskaun. 

"Jangan serik datang menginap di sini lagi ya. Jangan risau, nanti kami beri bilik yang lain," katanya. 

Erk? Tak nak. Tak nak dan memang tak nak! Dari cerita mereka, resort ini sudah setahun tidak beroperasi. Sebelum ini, tempat ini adalah asrama pelajar dan kini telah diubahsuai. Apa yang lebih mengejutkan ialah, pada malam kejadian itu hanya saya dan suami sahaja yang menginap di situ. Tiada orang lain. Oh my.. 

Yang menjadi persoalannya kini ialah, siapa yang menjawab panggil telefon dalam masa 9 saat, jam 1.35 pagi itu di bilik Anggerik, 105?

Sumber: Oya Suria


from Viral Semasa http://ift.tt/2uCTpma
via IFTTT