Jangan Tipu Tarikh Terakhir Datang Bulan Hanya Kerana Takut Dipaksa Bersalin (Induce) - Doktor

9:01 AM 0 Comments A+ a-

Difahamkan, sudah menjadi trend bagi kebanyakan ibu mengandung menipu tarikh terakhir datang bulan hanya kerana bimbang dipaksa bersalin.  Namun, tindakan yang mementingkan diri itu sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kepada  bayi yang dikandung. 

Kepada ibu-ibu yang mengandung mahupun yang belum mengandung, bacalah perkongsian dari Doktor Hana Hadzrami di bawah untuk pengetahuan bersama. Jangan kerana pentingkan diri, 'rezeki' yang Allah beri ditarik kembali kerana tindakan yang kurang cerdik itu. 


Oleh Doktor Hana Hadzrami

USAH TIPU TARIKH LAST MENSTRUAL PERIOD (LMP)
(Kisah ibu mengandung mengelak dipaksa bersalin)

Saya terbaca ada satu trend sekarang, dimana ibu muda yang mengandung tipu tarikh akhir datang bulan (Last Menstrual Period; LMP) bertujuan untuk 'membeli' lebih masa supaya tak dipaksa bersalin sekiranya terlebih bulan (post date).

Kiranya bila kandungan dah melepasi 41 minggu, namun disebabkan si ibu tipu tarikh LMP, doktor akan menyangka si ibu baru nak masuk 40 minggu. Lalu doktor akan memberi masa lagi seminggu sebelum dipaksa bersalin atau dipanggil 'Induction of Labour (IOL)'. Hasilnya kandungan boleh mencecah lebih 42 minggu jika dibiarkan.

Ini suatu perkara yang berbahaya kepada bayi. Risiko kematian bayi meningkat apabila kandungan mencecah 39 minggu. Risiko kematian bayi naik mendadak apabila kandungan melebihi 40 minggu. Semakin lama kandungan dibiarkan melebihi tempoh matang (40 minggu), semakin kurang sihat keadaan dalam rahim ibu.

Beberapa perubahan akan terjadi:
  • Uri menjadi kering dan tali pusatnya mengecut akibat salur darahnya mengeras dan menyempit, dan tak mampu menyalurkan nutrien serta oksigen untuk bayi (placental aging).
  • Bayi akan perlahan-lahan lemah dan lemas akibat kekurangan zat dan oksigen seterusnya terberak dalam rahim. Lalu bayi akan terhirup serta tertelan najisnya sendiri (meconium aspiration). 
  • Air ketuban akan berkurangan (oligohydramnios). Air ketuban yang kering akan menyebabkan tali pusat bayi terhimpit (bayi boleh lemas), bayi sukar bergerak dan jika dibiarkan lama, struktur tulang dan otot bayi boleh terjejas.

Bayi yang dilahirkan melebihi tempoh matang selalunya berkulit kering bersisik, warna kekuningan atau kehijauan, berkuku panjang, nipis lapisan lemak dibawah kulit dan berambut penuh dan lebat.

Selalunya apabila kandungan mencecah 40 minggu, doktor akan menyelia kandungan dengan lebih teliti. Pemeriksaan ultrasound untuk kesihatan uri, mengukur paras air ketuban dan pemeriksaan jantung bayi akan dibuat lebih kerap. Jarang ada pakar bersalin membiarkan kandungan melebihi 41 minggu dengan senang hati.

Terdapat satu kes seorang ibu menolak saranan doktor untuk IOL dan menunggu hingga kandungannya lebih 42 minggu. Satu hari didapati kandungan kurang bergerak, lalu segera dia ke hospital. Namun bayinya meninggal dalam kandungan, tersedut najis yang pekat (thick meconium) serta berbelit ketat satu pusingan tali pusat di lehernya.

Nasi dah menjadi bubur. Ada yang mengatakan semua dah takdir. Sendiri yang salah, namun nak juga kaitkan dengan Tuhan.

Tak semua kandungan perlukan IOL. Malah pakar bersalin takkan menyarankan IOL sesuka hati kecuali dengan sebab yang kukuh. Ada yang perlu IOL pada 38 minggu, ada yang perlu IOL lebih awal lagi sebaik saja ubat steroid untuk mematangkan paru-paru bayi diberikan. Ada yang IOL pada 40 minggu.

Semua keputusan ini dibuat dengan meletakkan keselamatan ibu dan bayi sebagai prioriti tertinggi. Kerana apabila kematian atau insiden tak diingini terjadi, pendapat sesiapa pun dah tak penting. Tiada satu pihak pun yang menang bila ada kematian. - Doktor Hana Hadzrami


from Srikandi http://ift.tt/2f5QGqR
via IFTTT